ASSALAMUALAIKUM
SELAMAT DATANG KE DUNIA PENULISAN KAMI
HAYATILAH SETIAP YANG TERMAKTUB DISINI....GUNA JIKA ADA KEBAIKAN...YANG XPATUT GUNA JANGAN HIRAUKAN..
Related Posts with Thumbnails

Monday, May 31, 2010

Banteras perjudian Internet

SEREMBAN,12 Mei- Kerajaan negeri hari ini melancarkan perang habis-habisan ke atas pengusaha kafe siber yang menjadikan premis mereka sebagai lokasi perjudian Internet.

Serentak dengan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengarahkan semua agensi penguat kuasa seperti polis, pihak berkuasa tempatan (PBT), imigresen dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan operasi bersama bagi membanteras kegiatan tersebut daripada berleluasa.

Saya mahu ingatkan pengusaha kafe siber, jangan jadikan premis mereka sebagai lokasi perjudian Internet atau mereka akan berhadapan tindakan undang-undang termasuk lesen dirampas.

Saya mahu mesin judi Internet haram dirampas sebagai pengajaran kepada mereka. Banteras segera kegiatan ini sehingga ke akar umbi.

Kita tidak mahu kewujudannya merosakkan jati diri rakyat serta menimbulkan penyakit sosial yang menjejaskan keharmonian masyarakat, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Justeru, kata Mohamad, pembanterasan yang dilakukan itu hendaklah seiring kerana terlalu banyak pertindihan dalam tindakan dan sebagai contohnya, kes perjudian ini di bawah kuasa polis, manakala perihal berkaitan lesen dan permit dibuat oleh pihak berkuasa tempatan.

Kita dapati penyakit judi siber ini semakin berleluasa. Banyak lesen telah disalah guna. Di luar mereka tulis kafe siber, tetapi di dalam menjalankan kegiatan mesin judi Internet, ujar Mohamad.

Tegasnya, kerajaan negeri mahu pemantauan lebih ketat di buat ke atas semua kafe siber dan ia hendaklah diperiksa lebih kerap bagi menghindarkan aktiviti haram berkenaan dilakukan di sebalik cermin yang ditutup itu.

Masyarakat jadi rosak pemikirannya kerana judi Internet.

PBT, polis dan imigresen telah pun membuat banyak serbuan ke atas premis kafe siber ini dan mesin perjudian juga banyak yang dirampas. Lesen dan permit mereka juga kita tarik balik.

Kalau susah sangat, kita juga akan melibatkan TNB supaya bekalan elektrik di premis terbabit dipotong bekalannya, kata Mohamad.

Mohamad berkata, ancaman perjudian Internet haram ini begitu serius dan tiada cara lain, selain memerangi habis-habisan lubuk yang menjadi sarang perjudian ini.

Remaja, pelajar, orang tua dan semua yang terlibat sudah diancam penyakit baru iaitu judi Internet. Kita akan pantau juga di beberapa daerah yang kini menjadi lubuk baru aktiviti tersebut.

Cari sampai dapat dan pastikan aktiviti perjudian Internet haram ini dibanteras segera, kata Mohamad lagi.

Dipetik dari Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment